PPSMI: Jangan manipulasi keputusan UPSR 2009

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Semua pihak diminta tidak memanipulasi keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009 untuk kembali mencetuskan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, meskipun jumlah pelajar yang memperoleh A dalam subjek Sains dan Matematik meningkat, ia tidak bermakna keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI perlu dipertikai.

Beliau berkata, hanya 30 peratus daripada keseluruhan calon yang mengambil peperiksaan itu menjawab menggunakan bahasa Inggeris.

"Seramai 70 peratus lagi menjawab dalam bahasa Melayu. Justeru, anda tidak boleh katakan PPSMI itu bagus hanya berdasarkan keputusan yang diumumkan semalam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang UPSR 2009 anjuran Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di Dewan Kompleks Seri Bintang di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi YPC, Datuk Syed Ali Al-Habshee dan Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sulaiman Wak.

Dalam keputusan UPSR 2009 yang diumumkan semalam, calon yang mendapat A bagi mata pelajaran Matematik meningkat 4.2 peratus manakala Sains naik 2.2 peratus.

Sementara itu, Mohd. Puad berkata, kementerian tidak bercadang untuk memansuhkan UPSR walaupun ada pandangan mengatakan ia tidak relevan pada masa ini.

Menurutnya, UPSR berperanan sebagai saringan awal untuk para pelajar dan ibu bapa mereka mengenal pasti aliran yang patut diikuti di sekolah menengah.

"Saya tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan dalam sistem taksiran peperiksaan ini.

"Biarlah masyarakat berbahas tetapi kementerian tidak bercadang memansuhkannya dalam masa terdekat," ujarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Chit Chat..


ShoutMix chat widget