UPSR oh UPSR ;
KUALA LUMPUR 22 Nov. – Jawapan yang hampir sama termasuk dari segi ayat digunakan serta peratusan markah yang terlampau tinggi menjadi punca murid di empat sekolah di Sabah lewat mendapat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mereka.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keadaan itu menyebabkan timbul keraguan terhadap keputusan yang dicatat sekali gus memaksa semakan semula dibuat ke atas jawapan diberikan.
Namun, katanya, kementerian sudah membuat keputusan untuk membenarkan murid di keempat- empat buah sekolah itu memperoleh keputusan mereka esok.
‘‘Kebenaran itu bagaimanapun tidak bererti kementerian bersikap lepas tangan. Siasatan akan terus berjalan bagi menyiasat sama ada berlaku sebarang salah laku.
‘‘Jika siasatan mendapati ada yang tidak kena, tindakan tidak akan diambil ke atas murid sebaliknya guru-guru yang perlu menjawab bagaimana perkara itu terjadi,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom semalam dilaporkan berkata, kementerian terpaksa menahan keputusan itu bagi membolehkan Lembaga Peperiksaan menilai semula jawapan murid kerana timbul unsur keraguan.
Tiga daripada empat sekolah tersebut berada di Tawau, manakala satu lagi di Keningau membabitkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.
Mohd. Puad menambah, beliau berharap siasatan dijalankan Lembaga Peperiksaan tidak mengambil masa yang lama agar tidak timbul sebarang persepsi negatif di kalangan masyarakat.
‘‘Saya belum dimaklumkan berapa ramai yang terlibat, tetapi siasatan ini diharap selesai secepat mungkin. Tindakan pasti akan diambil jika berlaku sebarang kecacatan di mana-mana,’’ katanya,
11/23/2009 08:29:00 PTG
|
Label:
UPSR
|
0 ulasan:
Catat Ulasan